Tuesday 9 October 2012

Catan Cat Air



 TEKNIK CATAN CAT AIR

BASAH ATAS BASAH
Teknik ini dilakukan dengan memasukkan warna lain di atas warna yang sedia ada semasa basah.

Ini bertujuan supaya warna kedua dapat menyerap ke dalam warna pertama untuk menghasilkan tona yang menarik. Untuk tujuan ini kertas yang telah dibasahkan hendaklah dihamparkan atas permukaan yang rata, supaya air dapat bertindak mengalirkan warna yang dimasukkan.

* Teknik ini amat sesuai apabila hendak mewarna permukaan yang luas seperti langit, tanah, dinding bangunan serta latar belakang untuk lukisan alam benda.

BASAH ATAS KERING

Lapisan pertama dibiarkan kering terlebih dahulu sebelum warna kedua yang basah disapu dengan sapuan yang lembut. Teknik ini juga sesuai digunakan pada permukaan yang luas, tetapi kerja-kerja perincian hendaklah dilakukan.

Untuk permukaan langit yang luas, pelukis boleh menggunakan teknik ini untuk melukis awan. Cara ini juga digunakan untuk menggelapkan lapisan pertama dengan memasukkan tona yang lebih gelap di atas warna yang sedia ada.

KERING ATAS KERING
Maksud kering di sini bukanlah sebagai mana kain kering di sidaian tetapi warna yang melekat pada berus tidak banyak. Jika banyak elok di sapu pada kertas lain atau tisu untuk membuang warna yang lebih itu. Kemudian di sapu di atas warna lain yang sudah kering untuk menghasilkan warna yang lain. Tetapi tidak tebal. Sekadar untuk mewujudkan keharmonian warna dengan suasana sekitarnya.




Friday 11 May 2012

SENI TAMPAK

Seni


Seni merupakan istilah yang sukar ditakrifkan memandangkan perkataan ini boleh digunakan mengikut bidang masing-masing dengan makna yang lain. Dalam istilah bahasa, seni bermaksud halus, cantik dan teknik. Akan tetapi, ada yang menterjemahkan seni sebagai sesuatu yang cantik, indah, baik, dan cerdik yang boleh ditanggap melalui pancaindera seperti mata dan telinga. Boleh dikatakan seni merangkumi setiap aspek kehidupan manusia. Dalam era moden ini, seni juga melibatkan sesuatu yang kreatif dan inovatif. Ia merupakan bidang yang berupaya untuk penghasilan dan pencipataan sesuatu karya dan ciptaan untuk manusia semata-mata untuk keindahan ataupun sesuatu fungsi kegunaan yang tertentu. Jadi, seni adalah ilmu terhasil daripada budaya dan agama dalam menghasilkan sesuatu untuk tujuan pemujaan Tuhan, menyebarkan nilai-nilai budaya seperti pakaian, dan sebagainya. Seni juga terhasil daripada industri yang bertujuan untuk menghasil sesuatu yang berorientasikan keuntungan dan bercirikan komersil melalui penciptaan barang yang berguna dalam kehidupan harian.
Seni juga boleh dipandang dari segi nilainya. Sesuatu yang indah tidak boleh dinilai dalam sebutan harga, walaupun masih ada yang menjualkannya pada harga yang melambung tinggi. Nilai kesenian itu terus diturunkan kepada generasi yang lain di mana ia menjadi satu sejarah atau pantulan yang mengisahkan tentang masa silang.

Seni visual dan pendidikan

Seni visual adalah penting dalam meningkatkan kualiti hidup masyarakat kerana ciri-ciri sesuatu karya seni dipercayai boleh mempengaruhi tanggapan seseorang dari segi sosiologi dan psikologi. Dalam hidup harian, kami sentiasa bertembung dengan barang-barang hasil daripada bidang seni seperti kereta, pen, majalah, makanan dsb. Jadi, bidang ini telah dijadikan sebahgian daripada kurikulum di sekolah dan institut pengajian tinggi. Di Malaysia, subjek "seni visual" boleh diambil oleh pelajar yang menduduki Peperiksaan Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Pelajaran Tinggi Malaysia (STPM). Kerajaan juga menggalakkan pelajar-pelajar agar mereka menimba ilmu ini melalui Internet supaya mereka diperlengkapkan pengetahuan yang mencukupi bagi menduduki STPM. Subjek ini adalah mustahak kerana ia adalah ilmu asas bagi mereka yang akan mngikuti senireka dalaman, senireka grafik, senireka automobil, fesyen, tekstil dsb.
Dua aspek utama dalam sukatan pelajaran STPM Seni Visual ialah Apresiasi Seni Visual dan Penghasilan Seni Visual. Sukatan pelajaran ini terdiri daripada empat komponen, iaitu
(a) Teori Seni Visual (Apresiasi Seni Visual dan Teori Penghasilan)
(b) Lukisan dengan menggunakan media kering seperti pensel, arang, krayon dsb.
(c) Projek Penghasilan Karya dan portfolio yang wajib diambil oleh pelajar sekolah.
(d) Khas untuk pelajar persendirian yang akan diuji teknik penghasilan secara teori

Keindahan

Setiap orang mempunyai persepsi terhadap keindahan yang lain. Sesuatu objek yang kelihatan indah mungkin tidaklah 'cantik' kepada orang lain. Jadi, mesej yang disampaikan serta maksud yang diterjemahkan ke dalam bentuk karya/hasil seni ini adalah amat penting. Contohnya, seseorang anggap poster yang mempunyai sebaris perkataan "A Star is Born" dan ilustrasi seperti satu bintang di latar belakang yang gelap tidaklah begitulah cantik dan indah. Namun, ia adalah 100% indah jika ia dapat memenuhi kehendak untuk poster itu serta mesej yang disampaikan adalah ringkas dan jelas.
Oleh itu, keindahan dalam sesuatu hasil seni perlulah mempunyai ciri-ciri berikut:
  • Objek: Subjek yang menjadi fokus utama dalam suatu karya (contoh: figura manusia dalam poster konsert)
  • Komposisi: Unsur seni dan prinsip seni yang digunakan untuk menghasilkan sesuatu karya (contoh: garisan pada suatu lukisan dengan warna harmoni digunakan)
  • Tema: Tajuk dan fokus penting untuk sesuatu karya (contoh, derma darah adalah sasaran penting dalam suatu poster)
  • Makna: mesej di sebalik suatu karya adalah jelas
  • Fungsi: Fungsinya adalah fungsi estetik ataupun fungsi penggunaan atau kedua-duanya